Skip to main content

Cerpen : "Khuzni Ma'aka Ila Jannah?"

"Dum!" Pintu dihempas kuat. Aku berwajah tegang. Masing-masing ingin memenangi perdebatan berteraskan ammarah yang bertuhankan syaitan. Aku dengan pandangan aku, dia dengan pandangan dia. Perdebatan kami berakhir dengan satu ucapan pemutusan. Pemutusan persahabatan. Aku terduduk. 'Apakah yang aku lakukan tadi?'

Muhammad Hafiz Arshad. Itulah nama aku. Aku seorang pelajar aliran agama di salah sebuah sekolah Maahad Tahfiz di Kelantan. Alhamdulillah. Hari-hariku baik sepanjang berada di Maahad ini. Kecintaanku terhadap ilmu agama tersemai subur. Kecintaanku terhadap ilmu mendorong aku untuk berusaha menggali di lombong ilmu ini. Aku bersahabat baik dengan seorang teman seperjuangan. Mempunyai misi untuk memburu cinta ar-Rahman. Namun, semuanya berjaya diretakkan dengan hasutan syaitan.

Aku bermonolog sendiri. 'Salahkah aku?'

"Ah. Biarkan sahaja dia tu. Degil. Tak layak bersahabat dengan kau" syaitan mula memanah anak panah hasutan.

"Tapi. Islam mengajar untuk saling bermaafan." Iman aku bangkit melawan nafsu ego di medan pejuangan.

"Kau mahu dilihat sebagai seorang yang kalah?" 

Aku buntu. Fikiranku bercelaru. Ingin sekali aku menyungkurkan diri, merebahkan jiwa di hadapan Yang Maha Satu. Memohon perlindungan daripada usaha syaitan yang jitu.

Di dalam kegelapan, aku menadah tangan..

"Ya Allah. Bantulah aku untuk terus mencintai-Mu. Bantulah aku untuk terus bermujahadah mencari redha-Mu. Bantulah aku untuk berjaya menggapai syurga-Mu. Amin"

'Hmm. Mudah-mudahan persahabatan kami dapat dipulihkan.'

******

Keesokannya, aku bergegas mencarinya. Segunung kata maaf perlu aku hadiahkan agar persahabatan tidak diracuni racun syaitan. Aku mencarinya di setiap tempat, pertanyaan demi pertanyaan aku hadiahkan kepada teman-teman seperjuangan. 'Ya Allah. Dimanakah dia?' Tiba-tiba, aku disapa dari belakang.

"Assalamualaikum. Hafiz, enta seperti ada masalah. Boleh ana tahu, apa masalah enta?" Hazim, teman sekelasku menyapa dengan senyuman.

"Waalaikummussalam Hazim. Na'am, ana ada masalah. Ana memerlukan seseorang untuk menjadi pendengar masalah ana" Aku menjawab dengan lemah. Dia mengangguk faham. Dia menawarkan diri menjadi pendengarku. Aku mengangguk lantas bersetuju.

Aku mulakan segalanya dengan nama Allah. Dan sudah menjadi sunnah untuk mengakhiri segalanya juga dengan nama Allah. Hazim mendengar dengan penuh setia. Meraikan kondisiku yang sedang terluka. Terluka kerana melakukan suatu kesalahan, yang tidak dapat diampuni Tuhan melainkan hanya dengan redha seorang insan.

Usai bercerita, Hazim terdiam seketika. Seperti memikirkan sesuatu. Aku menunggu dengan penuh rela. Setelah beberapa minit, dia membuka bicara.

"Hafiz. Ana rasa, enta kena minta maaf dengan dia. Enta pun sudah maklum bukan? Nabi S.A.W bersabda yang golongan yang memutuskan silaturrahim, tidak boleh masuk syurga." Hazim berbicara dengan senyuman.

"Tetapi, bukankah kalau ana meminta maaf, ana dikira sebagai menerima kekalahan?" Aku tidak berpuas hati.

"Hafiz. Kata maaf bukan satu kekalahan. Bukan juga penghinaan. Tetapi suatu kata yang menjadi bantuan untuk kita menuju syurga idaman" Hazim bermadah bicara.

"Tetapi, ana tidak akan meminta maaf selagi dia tidak mulakan dahulu!" aku semakin mengikut kata hati.

"Hafiz. Sedangkan Allah Maha Pengampun, kenapa tidak kita? Firman Allah mafhumNya;


"Dan meminta ampunlah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani"

-An Nisa'-

"Tetapi, ana manusia, bukan Allah!"

"Bukankah kita boleh mencontohi sifat mulai-Nya? Bertakwalah kepada Allah, Kita ini ummat Nabi Muhammad. Baginda pasti bersedih mengenangkan ummat baginda yang berpecah belah"

Aku menyedari kekhilafanku. Segera aku memohon maaf kepada Hazim dan beristighfar kepada Allah. Aku meminta diri untuk pulang ke bilik. Aku menunaikan solat sunat taubat dan muhasabah diri. Ya Allah, terlalu banyak dosa yang aku lakukan. Usai berdoa, aku berjalan-jalan disekitar taman mencari ketenangan.

Jam menunjukkan pukul 5 petang. Semasa berjalan, aku terlihat kelibat Fakhrul, sahabat aku yang bergaduh denganku. Fakhrul sedang duduk diatas kerusi sambil menikmati pemandangan indah yang diciptakan Ilahi. Aku mendekatinya, lalu menyapa.

"Salam alaik. Ayujadu Syakhsun Akhar Huna (ada orang lain ke kat sini)?"

Dia memandang sambil menjawab salam. Soalanku dibiarkan berlalu tanpa jawapan. Kembali merenung ciptaan Tuhan. Aku duduk disebelahnya, mencari kekuatan seketika untuk meluah bicara. Ucapan maaf masih terkurung. Jika tidak sekarang, mahukah aku dibakar di neraka sehingga rentung?

"Fakhrul. Ana....." lidahku kelu. Dia memandang hadapan dengan pandangan sayu. Aku memohon pertolongan Allah untuk menguatkan diriku. Aku beristighfar dan menyebut nama suci-Nya. Dengan lafaz Bismillah, aku mula mengatur madah.

"Fakhrul. Ana...,
Ana bersyukur kepada Allah,"
Kerana mengurniakan seorang sahabat,
Yang setia, sabar dan bersemangat,
Mencari redha dan rahmat,
Agar berjaya di dunia dan akhirat.

Fakhrul,
Ana mencari ilmu Allah,
Dengan bantuan sahabat yang sentiasa mementingkan,
Ibtigha'i Mardatillah,
Ana bersyukur,
Kerana disaat ana tersungkur,
Masih wujud seseorang yang sudi menegur,
Dan bersemangat Sirru,
Sirru 'Ala Barakatillah.....

Fakhrul,
Kata maaf ana ucapkan,
Kata maaf ana hadiahkan,
Namun,
Ana memerlukan satu sahaja hadiah,
Fakhrul, Khuzni Ma'aka Ila Jannah?

Matanya berair. Lalu dia memelukku erat. Kami bangkit me njadi sahabat. Bersama memburu jihad. Inilah indahnya hidup bersahabat. Yang meniti diatas jalan mujahadah. Dengan kata-kata hikmah,

"Sirru 'Ala Barakatillah..."

-Tamat-

Comments

Popular posts from this blog

Sangka Baik Mematangkan Fikiran

Cuti MC 5 hari. Aduh. Bosan yang teramat! Nak menulis, tangan sakit. Nak menaip, tangan sakit. Nak makan? Alhamdulillah okey lagi. Haha. Setiap ujian yang mendatang perlulah disertakan dengan sangka baik, bukan? Hatta ujian dalam menuntut ilmu sekalipun. Macam kawan saya pernah sebut, "Bersabarlah. Ujian dalam menuntut ilmu itu biasalah. Moga kau kuat" Saya berterima kasih dekat dia. Doa saya selalu, semoga Allah memelihara dia dengan sebaik baik pemeliharaan dan penjagaan. Namanya sentiasa disebut dalam doa kerana dia merupakan insan yang mempunyai visi dan misi yang jelas untuk ummat. Back to the topic. "Korang semua nak tau tak?" saya mula memasang umpan. Hanya kami yang tinggal di dalam Dewan Selera. Aktiviti dan urusan yang agak banyak menjadikan kami terlewat makan 'supper'.  Macam biasa, kami akan bergerak bersama-sama. Tiba-tiba saya teringat kata-kata seorang 'Ustaz Debator' sekolah saya; "Kaum perempuan mem

"Kami bukan Malaikat!"

"Harzan, gi siap-siap nak pergi surau, pastu kemas apa yang patut. Buat checklist semua. Takut ada apa apa yang tertinggal" arah beliau. Saya masih berbaring diatas sofa. Azan yang telah berkumandang tadi menandakan subuh dah masuk. Saya masih memusingkan rubic cube. Saya mengeluh halus. Saya pun bergerak untuk ambik wudhu'. Baru sebentar tadi saya dibebel mengenai tarawih di surau. Beliau kaitkan dengan darjat seorang penghafaz Al-Quran. Saya bungkam. 'Golongan penghafaz quran seperti kami ini selalu sangat dipandang seperti malaikat oleh orang ramai. Kalau tak buat sikit, mulalah.' Kadang-kadang saya salahkan diri saya. Kenapa saya hafaz quran? Kadang-kadang saya menyesal sebab hafaz quran. Nauzubillah. 'Aku hanyalah seorang manusia yang Zaluman (teramat zalim) dan Jahulan (teramat bodoh). Sebab aku yang sanggup mengambil risiko menjadi seorang penghafaz al-quran kemudian tidak menunaikan tanggungjawab.' "Golongan kami bukanlah malaik

Dari Siapa?

Azfar menghempas pintu bilik. Dia tertekan. Beg jenama Adidas berwarna merah yang disandangnya dari tadi dilemparkan ke atas katil. Dia duduk diatas birai katil. Azfar termangu. Peristiwa yang berlaku di surau sewaktu program usrah tadi masih membakar jiwanya. Dikerah segala memori yang berlaku tadi.  "Eh ABANG Azfar! Hahaha! Sejak bila kau jadi Naqib ni?" laung seseorang. Azfar yang sedang memberikan tazkirah ringkas kepada ahli usrahnya,terhenti seketika. Program Usrah yang berjalan disekolahnya ditetapkan oleh pihak BADAR. Kebiasaanya, Nuqaba' akan mula dilantik seawal tingkatan 3 dan ahli usrahnya terdiri dikalangan pelajar tingkatan 1. Sudah tiga tahun Azfar memegang jawatan sebagai Naqib. Pada malam itu rakannya, Irfan tiada di surau kerana sibuk menguruskan hal ehwal BADAR. Jadi, Irfan berhasrat agar usrahnya dapat digabungkan bersama usrah Azfar. Empat belas mata sedang menoleh kearah suara tersebut. Kelihatan empat orang pelajar sebaya Azfar memakai jubah